Amerika Syarikat bersama dengan negara-negara Eropah lain dan juga Israel berhajat untuk melakukan “regime change”, iaitu menukar kerajaan-kerajaan negara-negara di dunia yang tidak menyokong mereka.
Mereka akan melakukan “regime change” ini melalui pelbagai cara.


 Di Iraq mereka melaksanakan “sanction” sekatan dagangan pada mulanya dan kemudian berperang dengan Saddam Hussein untuk menukar kerajaan Iraq. Dan mereka berjaya.
Mereka juga cuba menukar kerajaan Iran dengan menghasut dan membantu Iraq untuk berperang dengan Iran. Usaha ini gagal. Hari ini mereka masih mencuba dengan menyekat negara-negara di dunia daripada membeli minyak Iran.

Perancangan dibuat untuk menukar kerajaan Syria menggunakan berbagai-bagai sekatan kewangan dan dagangan, serta membantu pemberontakan melawan Kerajaan Syria. Usaha ini sedang diteruskan.
Di negara-negara Arab apabila ada pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan, Amerika dan Eropah memberi bantuan wang dan senjata, bahkan melancarkan serangan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak disukai oleh mereka.


Di Chile dahulu, Presiden Allende yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi, dibunuh oleh agen-agen Amerika supaya Jeneral Pinochet yang disokong oleh Amerika dapat menjadi Presiden. Amerika lebih suka seorang diktator yang ganas daripada pemimpin yang demokratik jika ianya tidak sokong Amerika.
Di mana-mana sahaja Amerika dan Eropah memberi bantuan mengguna media mereka untuk memburuk kerajaan tertentu supaya rakyat digerak untuk mengguling kerajaan yang tidak berbaik dengan Amerika dan Eropah.
Di Indonesia sokongan diberi kepada tenteranya untuk menjatuhkan Sukarno. Kemudian pelbagai jenis tekanan diguna untuk menjatuhkan Presiden Suharto.
Di mana sahaja kita lihat Amerika bersama Eropah dan Israel, tidak berhenti-henti mencuba menjayakan “regime change” supaya dapat mereka kuasai semua negara di dunia.
Apakah Malaysia tidak menjadi sasaran untuk “regime change”? Memang pun Malaysia menjadi calon untuk “regime change” kerana Malaysia tidak mengiktiraf Israel dan mengkritik beberapa dasar Amerika Syarikat.


Calon Amerika dan Israel untuk mendiri kerajaan boneka ialah Anwar Ibrahim. Sejak awal lagi mereka menjalin hubungan yang rapat dengan Anwar.
Anwar pula ternampak jelas menganggap sokongan Amerika boleh menjayakan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Oleh itu Anwar memberi gambaran bahawa ia adalah seorang liberal yang terima dan sokong konsep-konsep kebaratan seperti hak asasi manusia, kebebasan dalam serba-serbi, sikap anti-kroni dan rasuah kononnya, penolakan DEB yang dikatakan menindas kaum tertentu di Malaysia dan bermacam lagi yang boleh mendapat pujian dan sokongan oleh Amerika. Ia cukup berjaya kerana Amerika anggap Anwar amat layak untuk melaksanakan “regime change” di Malaysia.
Pelobi yang amat berkesan di Amerika ialah orang Yahudi. Ramai dari kawan-kawan Anwar di Amerika seperti Paul Wolfowitz, Cohen dan lain-lain adalah dari kumpulan neo-con yang mencipta dasar penaklukan dunia oleh Amerika (Project for the new American Century).


Demikian apabila Anwar dihadapkan di mahkamah kerana tuduhan liwat, mereka mengecam Malaysia kerana kononnya menghalang cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Sudah tentu jika Anwar tidak dapat menjadi Perdana Menteri maka gagallah rancangan “regime change” Amerika.
Tidak hairanlah kenyataan Anwar bahawa ia menyokong segala tindakan untuk keselamatan bagi Israel. Sudah tentu ini akan menarik sokongan Amerika dan media mereka. Orang Palestine tidak boleh menolong Anwar.
Melihat sokongan Amerika kepadanya Anwar Ibrahim adalah calon Amerika untuk melakukan “regime change” di Malaysia dengan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Kerajaan yang ada sekarang tidak disenangi oleh Amerika kerana bersikap berkecuali, berbaik-baik dengan Cina dan Russia dan tidak menyokong sentimen Amerika terhadap Iran dan beberapa negara lain.
Adalah menjadi harapan Amerika, apabila “regime change” berjaya di Malaysia dan Anwar menjadi Perdana Menteri maka mungkin Malaysia akan ada hubungan diplomatik dengan Israel dan menjauhkan diri dari perjuangan Palestin. Dengan ini sebuah kerajaan boneka akan tertubuh di Malaysia yang akan sokong apa sahaja usaha Amerika untuk menakluk dunia.

 
Tun Dr Mahathir Mohamad ialah bekas Perdana Menteri