Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Mazlan
Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Am Pas tidak ada legitimasi untuk menerima penjelasan Anwar secara peribadi sebab semua orang tahu bahawa Menteri Besar Kelantan itu rakan kongsi politik Ketua Pembangkang.
"Kita meminta Anwar dan Nik Aziz agar jangan lari ikut pintu belakang dalam isu sokong Israel.
"Sebelum ini pun terbukti Nik Aziz sentiasa memihak kepada Anwar dalam kes liwat dan video seks. Pendirian dan prinsip Nik Aziz tidak ada kredibiliti sebab beliau ulama politik," katanya.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pihaknya mahu Anwar memberi penjelasan kepada Majlis Syura Pas jika berani, bukannya hanya bertemu dengan Nik Abdul Aziz.
"Penjelasan kepada Nik Aziz seorang diibaratkan sebagai suatu adegan lakonan politik"
"Jika takut nak berdepan dengan Majlis Syura Pas, maka tak perlulah heboh-heboh nak berdebat dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Lagipun Anwar bukan presiden mana-mana parti, cuma jawatan dilantik isteri," katanya.
Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyandnag jawatan Presiden PKR. Anwar juga Ketua Umum PKR.
Anwar menganggap hanya Nik Aziz yang penting manakala ahli-ahli Majlis Syura Pas tidak penting.
"Beliau juga anggap perasaan umat Islam tentang Palestin dan Israel itu tidak sepenting cita-cita politik peribadinya untuk menawan Putrajaya... ingatlah bahawa kenyataan itu telah merobek perasaan umat Islam.
"Adakah beliau tidak sedar bahawa seluruh dunia Islam sedang memerhatikan tingkah lakunya berhubung kenyataan dia iaitu 'I support all efforts to protect the security of the state of Israel'," katanya lagi.