Ketua Pembangkang Negeri, Datuk Satim Diman berkata, perdebatan di antara Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung skandal pasir wajar diadakan .
Umno Selangor akan memastikan segala bukti penyelewengan Kerajaan Negeri berjaya didedahkan sepanjang debat berlangsung.
“Namun, Kerajaan Negeri perlu selesaikan dahulu janji mereka dalam isu pasir ini, termasuk membersihkan diri dari tuduhan blogger Raja Petra Kamaruddin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kesediaan Umno Selangor berdebat dengan Abdul Khalid bagi membuktikan bahawa wujud penyelewengan dalam isu pasir di negeri itu.
“Ini adalah janji yang bukan sahaja diberikan kepada rakyat tetapi juga dibacakan oleh menteri besar di hadapan Sultan Selangor,” katanya.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Serdang itu turut mencabar Kerajaan Negeri memfailkan saman terhadap Raja Petra atas dakwaan dua adun PR terlibat dalam penyelewengan pasir.