Wednesday, January 18, 2012

Umno Membangun Bersama Islam !

Institut Wasatiyah ditubuh ..........





Penubuhan Institut Wasatiyah yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merupakan salah satu inisiatif terbaru kerajaan mempromosikan gerakan kesederhanaan dan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan.
Selain institut itu yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, Najib turut mengumumkan penubuhan Kursi Wasatiyah di Universiti Malaya (UM) serta Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global.

"Penubuhan Institut Wasatiyah itu nanti akan berperanan memberi tumpuan terhadap aspek kesederhanaan dan keseimbangan menerusi rasa hormat terhadap demokrasi, peraturan dan undang-undang, pendidikan, maruah dan harga diri seseorang serta keadilan sosial,"
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di sini hari ini.
Persidangan dianjurkan oleh Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), persidangan itu akan mengupas mengenai aspek kesederhanaan menerusi 13 topik berkaitan termasuk kewangan global, keamanan sosial dan polisi luar.

Najib turut melancarkan buku berjudul Global Movement of Moderates yang merupakan hasilan nukilan beliau sendiri dan akan diterbitkan oleh Razak School of Government.

Kursi Wasatiyah di Universiti Malaya (UM) bertujuan melahirkan lebih ramai sarjana dan cendekiawan yang menerajui semangat kesederhanaan dan keseimbangan seperti tokoh Islam terkemuka al-Imam Ibnul Qayyim dan pemegang kursi itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global pula jelas beliau, bagi mengangkat peranan GMM sebagai pusat penyatuan kepada usaha menentang keganasan dan ekstremis sama ada yang digerakkan oleh agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Selain menjadi inisiatif eksklusif yang digerakkan oleh Malaysia, GMM juga akan menyokong inisiatif lain yang digerakkan oleh badan antarabangsa ke arah mempromosikan gerakan kesederhanaan dan keseimbangan termasuk dialog dan kerjasama sama seperti United Nations Alliance of Civilisations (UNOAC)," katanya.
Dalam ucapannya juga, Perdana Menteri memberi penekanan terhadap gerakan kesederhanaan atau wasatiyah bukanlah bermaksud perlu menjadi lemah atau mengalah sebaliknya semakin berani untuk melangkah ke depan dan mencipta sesuatu yang lebih baik.
Lebih daripada itu, kata beliau, kesederhanaan dan keseimbangan juga merupakan pendekatan terbaik dalam menolak fahaman ekstremis kerana keganasan tidak boleh didepani dengan keganasan kerana ia hanya akan mengakibatkan lebih banyak kemusnahan.
"Fahaman ekstremis tidak pernah dialu-alukan dalam mana-mana agama dan sejarah juga tidak pernah dicatatkan oleh mereka yang menyokong amalan ekstremis sebaliknya oleh mereka yang kekal pada landasan perjuangan kesederhanaan dan kesimbangan tanpa mengorbankan kepercayaan mereka," katanya.
Dalam hubung kaitnya dengan ekonomi pula, Najib berkata, amalan kesederhanaan dan keseimbangan bermaksud pasaran tidak boleh dibenarkan bersifat bebas dan neutral serta membawa pulangan yang tidak adil dan saksama kepada semua pihak.
"Malah dalam ajaran Islam sendiri, struktur dan prinsip kewangan Islam telah lama meletakkan kepentingan awam lebih tinggi daripada kepentingan peribadi," katanya.

Najib Tun Razak berucap pada majlis persidangan antarabangsa mengenai Gerakan Kesederhanaan Global 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.