Thursday, December 22, 2011

PAS .... DIKUASAI PUAK-PUAK ALJUBURI !

Pas tinggalkan perjuangan demi kuasa .......Gila Kuasa !



"Saya perlu memberitahu saudara satu daripada syarat kejayaan bagi satu perjuangan ialah keikhlasan. Kita mungkin bodoh, mungkin jahil, mungkin tidak tahu apa, mungkin tidak kuat. Tetapi keikhlasan ada pada kita, maka ada harapan cita-cita ini dapat dilaksanakan.
''Tidak ada gunanya kita cerdik , pandai, kuat, sekiranya kita tidak ikhlas apa yang diperjuangkan. Kita sucikan tujuan kita kepada itu. Kita ketepikan kepentingan yang lain dari itu, ini perlu pada kita.
''Keikhlasan yang tidak ada belah baginya lagi. Keikhlasan yang tidak mengira yang lain selain dari apa-apa yang kita tuju di dalam perjuangan asal kita".
Inilah pesanan Prof. Dr. Zulkifli Mohamad kepada kepimpinan Pas pada awal penubuhan parti itu. Pesanan itu disampaikan kerana Allahyarham Dr.Zulkifli tidak mahu Pas tergelincir daripada landasan perjuangan bagi menegakkan Islam di negara ini.
Tetapi soalnya masih adakah keikhlasan untuk membawa kembali Pas ke landasan perjuangan asal? Sukar dipastikan, apa yang nyata dalam usaha Pas memburu kuasa bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, percayalah seruan agar Pas meninggalkan negara berkebajikan dan kembali ke matlamat asal menubuhkan negara Islam tidak akan dipedulikan. Dalam situasi yang dianggap kritikal ketika ini, Pas sudah pastilah tidak mahu melakukan tindakan yang akan dilihat boleh merugikan matlamat politik mereka dalam pilihan raya umum nanti.
Kepimpinan Pas sudah nekad bahawa dalam pilihan raya umum nanti apa pun berlaku mereka harus bersama PKR dan DAP menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Soal siapa untung siapa rugi selepas itu, ia perhitungan kedua. Apa yang paling mustahak pemerintahan BN perlu ditamatkan kerana pilihan raya umum kali ini dianggap pembangkang sebagai peluang paling keemasan.
Kita tidak pasti atas dasar apa pembangkang termasuk Pas begitu yakin bahawa rakyat akan menyebelahi mereka sedangkan pelbagai pungutan suara yang dibuat menunjukkan populariti pembangkang semakin merudum.
Tidak kisahlah itu hak pembangkang untuk 'syok sendiri', apa yang hendak diperkatakan ialah nasib Pas selepas pilihan raya umum nanti. Ketika PKR dan DAP sedang merancang strategi bagaimana untuk menguasai lebih banyak kerusi, Pas masih bergelut dengan masalah dalamannya yang berpunca daripada kegelisahan melihat Pas menggadaikan segala-galanya untuk mencari kuasa politik.
Sebab itulah munculnya pemimpin-pemimpin seperti Datuk Dr. Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa. Biar pun pelbagai tohmahan dilemparkan, namun kedua-dua mereka tetap istiqamah dan semakin lantang memperingatkan Pas bahawa parti itu sudah lari daripada landasan perjuangan asal.
Soalnya, apakah perjuangan Dr. Hasan dan Nasharuddin yang tulus ikhlas mengingatkan Pas akan berjaya? Sekarang ini sudah banyak andaian (mungkin juga tohmahan) yang menyalah tafsirkan pendirian tegas kedua-dua pemimpin tersebut.


Pas perlu disedarkan bahawa mereka sudah tersasar daripada asas perjuangannya dan tidak boleh terus berjuang dalam medan politik dengan 'remote control'nya dipegang oleh PKR dan DAP. Sebab itulah Allahyarham Prof.Dr. Zulkifli mengingatkan soal keikhlasan kerana tanpa keikhlasan Pas tidak akan ke mana.
Bagi Pas, sudah tentulah apa yang paling penting ialah orang mahu melihat sejauh manakah keikhlasan untuk berpegang kepada perjuangan Islam yang suatu ketika dulu menjadi pegangan kukuh parti berkenaan.
Bukankah ini yang menjadi punca Pas melihat UMNO sebagai musuh dulu, kini dan selamanya sehinggakan hendak duduk semeja bagi membincangkan perpaduan Melayu pun dituduh UMNO ada muslihat.
Bukankah kerana perjuangan Islam inilah, umat Islam berpecah-belah akibat berbeza fahaman politik? Bukankah kerana perjuangan Islam yang diuar-uarkan oleh Pas juga menyebabkan perlembagaan negara dianggap kafir? Bukankah kerana perjuangan Islam ini juga ada kenduri orang UMNO tidak dihadiri oleh orang Pas?
Dan kita juga hendak bertanya bukankah kerana perjuangan Islam itu juga yang menyebabkan sehingga ke hari ini isu solat Jumaat dua imam dalam satu kariah masih belum selesai sehingga ke hari ini? Justeru wajarkah setelah berpuluh-puluh tahun Pas menguar-uarkan mengenai perjuangan Islam dan bermati-matian hendak menegakkan negara Islam ia ditinggalkan begitu sahaja semata-mata untuk berkongsi kuasa dengan PKR dan DAP?
Sebab itulah keresahan Hasan dan Nasruddin serta penyokong Pas di peringkat akar umbi ada asasnya.
Kalau Pas sudah tidak mahu memperjuangkan lagi negara Islam dan memperjuangkan Islam, janganlah mereka hendak menuding jari mempertikaikan usaha UMNO memartabatkan Islam.
Mahu tidak mahu Pas perlu akui dalam usaha tersebut, UMNO jauh lebih ikhlas dan istiqamah, sebab itulah Malaysia boleh menjadi contoh kepada negara-negara Islam yang lain.
Sepanjang memerintah negara ini bersama parti-parti komponen BN yang lain, UMNO telah berjaya menonjol, mengembang dan mempertahankan Islam sedaya upaya, tetapi apa Pas sudah buat?
Lebih daripada itu, sementara kaum-kaum lain dibela, UMNO tidak pernah mempertaruhkan nasib orang Melayu dan umat Islam apatah lagi menggadaikan prinsip perjuangannya semata-mata bagi memburu kuasa politik. Ini berbeza dengan Pas sejak berkawan dengan PKR dan DAP, segala-galanya sudah boleh bertolak-ansur dan segala-galanya boleh dikompromi hatta melibatkan prinsip perjuangan sendiri.

No comments: