Rakyat perlu buka mata .............
Rakyat perlu membuka mata dan menolak kepimpinan pembangkang yang diyakini akan 'merosakkan' negara jika menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, ini berdasarkan sikap beberapa pemimpin pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah banyak menipu rakyat termasuk dirinya.
''Selama 12 tahun saya bersama dan menjadi penyokong kuat beliau, selama itulah saya kena tipu (dalam banyak perkara). Kes liwat, 16 September dan janjinya kepada beberapa pemimpin pembangkang untuk ditabal sebagai Timbalan Perdana Menteri, semuanya itu membuka mata saya.
''Paling ketara, semuanya bermula pada 8 Mac kerana Mohd. Saiful Bukhari Azlan,'' katanya ketika berucap sempena program Pemantapan Jentera Pilihan Raya Wanita BN Selangor di pejabat UMNO Bahagian Ampang, hari ini.
Zulkifli berkata, oleh itu, UMNO dan BN perlu memantapkan jentera parti bagi menghadapi 'peperangan' PRU13.
''Kena yakinkan jentera. Jika jentera tidak yakin, ia akan jadi lemah apatah lagi jika tidak tahu menjawab serangan.
''Situasinya kini, kebenaran yang berterabur (berselerak) akan kalah dengan batil yang tersusun. Kita di pihak benar tetapi kita berterabur. Patutnya kita yang menyerang sebab kita ada banyak peluru,'' tegasnya.
Terdahulu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Muhamad Rahimi Osman dalam ceramah berasingan berkata, kelemahan jentera BN ketika ini adalah kegagalan pemimpinnya dalam mengorek isu-isu berkaitan pemimpin PKR.
''Mereka (pemimpin PKR) jauh lebih teruk. Malangnya, kita (BN) tak korek isu-isu mereka. Jadi, persepsi rakyat khususnya orang muda seperti saya, PKR itu okay. Kita juga terlepas pandang orang muda.
''Mereka cukup penting. Gunakan segala kemudahan yang ada seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), blog, emel untuk salurkan segala maklumat aktiviti kita. Kita juga perlu ada ilmu untuk 'berperang','' tegasnya.
Muhamad Rahimi kemudiannya menggunakan platform di majlis itu untuk menceritakan perkara sebenar mengenai apa yang beliau tahu tentang 'wajah sebenar' Anwar sepanjang berkhidmat dengan Ketua Pembangkang itu.
No comments:
Post a Comment