Wednesday, July 20, 2011

Satu Peringatan Kepada Orang Melayu Dan Islam

KUALA LUMPUR 19 Julai – Pemecatan Mohamed Razali Abdul Rahman sebagai ahli DAP  adalah satu peringatan kepada orang Melayu dan Islam bukan sahaja di Pulau Pinang malah di seluruh negara mengenai perancangan politik tersembunyi parti itu.
Ketua Puteri UMNO Pulau Pinang, Nor Hafizah Othman menyifatkan apa yang berlaku membuktikan bahawa tiada tempat untuk orang Melayu dan Islam dalam DAP kerana perjuangan mereka sebenarnya lebih kepada perkauman.
“Mereka yang berada dalam pakatan pembangkang perlu kembali ke pangkal jalan sama ada dalam DAP, Pas atau PKR. Mereka harus keluar  dari pakatan pembangkang demi menjaga kedaulatan Melayu dan Islam.
Jawatankuasa Disiplin DAP yang memecat Razali sebagai ahli berikutan pendedahan yang dilakukan berhubung perjumpaan rahsia paderi-paderi di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Hafizah berkata, tindakan yang dilakukan oleh DAP terhadap Razali itu kerana mereka terasa tercabar kerana apa yang dilakukan telah dibongkar oleh ahli partinya sendiri yang tidak berpuas hati dengan apa yang cuba dilakukan oleh parti berkenaan.
“Pendedahan yang dilakukan oleh Razali itu perlu dijadikan ikhtibar betapa liciknya DAP yang kononnya mengatakan parti itu berjuang untuk semua tanpa mengira kaum dan agama tetapi melakukan sebaliknya secara rahsia.
“Apa yang berlaku itu adalah suatu hikmah kepada orang Melayu dan Islam di negara ini, mereka sering bercakap bahawa mereka memahami mengenai Islam sebab itu mereka boleh duduk bersama dengan Pas, sedangkan sebaliknya mereka merancang sesuatu seperti yang didedahkan oleh Razali,” katanya.
Beliau kesal dengan sikap  dan pendiriaan Pas mengenai perkara itu, sehingga kini tiada sebarang tindakan oleh parti itu mengenai perkara yang heboh seketika baru-baru ini, berbanding dengan DAP yang akan bersuara apabila membabitkan kepentingan orang bukan Islam seperti apa yang berlaku di Kedah baru-baru ini.
“Sepatutnya Pas harus mendapatkan penjelasan daripada DAP mengenai perkara ini, malangnya mereka mendiamkan diri seibu bahsa. Kita lihat apa yang berlaku di Kedah, Pas terpaksa tunduk dengan ugutan DAP.
“Mana perginya pemimpin-pemimpin Pas, mengapa mendiamkan diri, apakah mereka takut dengan DAP kerana khuatir tidak mendapat sokongan  dari parti itu,” katanya.
Hafizah berkata apa yang berlaku itu menunjukkan bahawa Pas kini sudah hilang taring dan hanya mampu mengikut telunjuk untuk kepentingan politiknya tanpa mempedulikan nasib bangsa dan agama.

No comments: