Seorang rakan baik Senator Datuk S.Nallakaruppan semalam mengalami detik-detik cemas apabila beliau bersama pemandu dan pengawal peribadinya diserang tiga lelaki bersenjatakan parang dan kapak di Taman Sri Gombak di sini.

U.Thamotharan, 45, seorang ahli perniagaan, hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak selepas cermin keretanya jenis BMW 530 dipecahkan oleh tiga lelaki yang tidak dikenali pada 3 petang semalam ketika hendak keluar dari rumah.  

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, beliau berkata 
keretanya telah dilanggar terlebih dahulu dari belakang sebelum beliau bersama pemandu dan pengawal peribadinya sempat melarikan diri. 

Mereka kemudian memecahkan cermin belakang dan depan serta dua cermin 
sebelah pemandu. 

"Mereka menyerang sebagai amaran dan ugutan yang serius agar saya menjauhkan 
diri daripada menyokong Datuk Nallakaruppan," katanya.    

Beliau berkata dua dari penyerang itu memakai topi keledar dan suspek tidak 
dikenalinya. 

Thamotharan, yang juga Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru 
Malaysia (Perinnbam), berkata kejadian itu tidak sedikit pun melunturkan semangatnya untuk terus berada di belakang Nallakaruppan.