Hampir 10,000 penduduk di lima kampung di daerah ini terpaksa menggunakan air paip berselut yang disediakan pihak berkenaan di sebuah loji air dekat sini, sejak dua hari lalu.

Mereka mendakwa, air berselut yang disedut dari Sungai Galas dimasukkan ke dalam loji tanpa dirawat sebelum dilepaskan semula bagi kegunaan penduduk di kampung-kampung tersebut.

Menurut seorang penduduk, Zahari Jusoh, 55, air berselut itu kerap berlaku dipercayai berpunca daripada kecuaian pekerja penjaga loji air berkenaan.

Beliau berkata, penduduk menggunakan air paip itu mengeluh kerana bukan sahaja boleh mencemarkan pakaian dibasuh, malah terdedah dengan pelbagai penyakit.

Beliau mendesak pihak berkenaan supaya menyiasat mengenai perkara itu kerana setiap penduduk membayar perkhidmatan mereka setiap bulan.

“Kita mengakui air sungai yang disedut itu keruh dan berselut berikutan musim hujan sekarang, yang menjadi persoalan pengguna kenapa air itu tidak dirawat terlebih dahulu,” katanya.

Husin Ali, 36, pula berkata, penduduk sudah berulang kali menyuarakan masalah bekalan air paip yang dibekalkan pihak itu tidak berkualiti, tetapi tidak pernah mendapat perhatian pihak pengurusannya.

Katanya, setiap pengguna memang mengharapkan keperluan air yang dibekalkan bersih dan berkualiti sepadan dengan bayaran yang dikenakan setiap bulan.

“Kalau kita asyik guna air paip berselut itu selalu lebih baik kita guna terus air sungai yang berkeadaan demikian dan tidak dikenakan bayaran yang membebankan perbelanjaan,” katanya.