Jangan Fanatik… Sebut Hudud Pada Musim Cari Undi Sahaja.................
Masalah hudud di Malaysia tidak akan pernah selesai kerana faktor terbesar menghalang keputusan akal jernih berkaitan hal tersebut adalah sentimen lama kepartian Pas. Sifat saling benci-membenci yang ditanam oleh pimpinan tertinggi ‘orang lama’ parti akhirnya merugikan umat Islam dalam negara Malaysia sendiri.
Hukum hudud adalah undang-undang Allah yang tidak mungkin ditolak atau dikatakan tidak sesuai dilaksanakan pada zaman ini kerana apa yang diciptakan Allah itu selalu ada maknanya dan Allah SWT Maha mengetahui segala sesuatu.
Al Quran dan hadits adalah pegangan kita umat Islam dan semua yang terkandung di dalamnya kekal relevan sepanjang masa hingga ke akhir zaman. Apa yang penting adalah musyawarah bagaimana cara perlaksanaanya di Malaysia agar tidak kaku kerana agama Islam bukanlah suatu agama yang kaku dan tidak pernah menyulitkan umatnya.
Pelaksanaan hudud di Malaysia sudah tentu suatu yang tidak mustahil tetapi perbincangan yang baik tentang cara perlaksanaannya di negara majmuk yang penduduknya berbilang agama, budaya dan latar belakang ini perlulah terlebih dahulu diadakan.
Status Islam sebagai agama rasmi Malaysia tidak boleh sama sekali dipersoalkan kerana Islam sudah bertapak di Malaysia sejak sekian lama dan menjadi pegangan rakyat jelata sejak itu.
Penemuan batu bersurat Terengganu yang dibuktikan secara saintifik bertarikh sekitar tahun 1302 menunjukkan bahawa agama Islam sudah sampai ke tanah semenanjung jauh sebelum Parameswara memulakan kesultanan Melayu Melaka (1402).
Sejak itu, Islam telah didakwahkan melalui pemerintahan yang ada ke seluruh wilayah pemerintahan dengan adil dan hal ini kekal dan terus berkembang membanggakan hingga hari ini.
Malaysia kini adalah antara pemimpin dunia Islam di dunia. Malaysia bukan sahaja antara pengaruh besar dalam OIC, Malaysia juga menjadi antara role-model negara Islam oleh banyak pihak.
Mendapatkan jawapan tentang cara pelaksanaan hukum Hudud di Malaysia dan pada masa yang sama diterima oleh semua pihak pelbagai agama dan latar belakang mungkin bakal merupakan kesinambungan dari kejayaan dakwah melalui pemerintahan yang telah tercapai selama ini.
Walau bagaimanapun apa yang menyedihkan adalah, undang-undang Allah ini tidak akan mungkin terlaksana jika orang Islam hanya fanatik berpolitik dan memilih menyebut hudud pada masa-masa tertentu sahaja demi meraih undi.
Laksanakanlah apa yang terbaik demi mendapatkan keberkatan Allah SWT untuk negara tercinta Malaysia. Mari kita bermusyawarah, meninggalkan sentimen lama demi mendapatkan jawapan dan mengharmonikan hubungan sesama kita.
Ingatlah, jangan kerana seteru sentimen lama akhirnya ‘makan diri’ sendiri dan berkesudahan tergadai agama dan bangsa.
Mari kita sama-sama berfikir rasional dan berhemah, tingalkan sengketa dan saling memaafkan supaya kita boleh berfikir jernih. “Sungguh, orang-orang yang membenci, dialah yang terputus (rahmat Allah)”- Al Kausar.
No comments:
Post a Comment