Laungan Azan Pada Hari Merdeka – TS Hasan Azhari
“Saya masih tidak dapat melupakan detik bersejarah itu hingga ke hari ini dan ketika saya mengalunkan azan pada tarikh keramat sejurus laungan merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, mengalir air mata saya membasahi pipi.
“Mengalirnya air mata itu bukannya kerana sedih tetapi gembira kerana negara pada saat dan ketika itu telah merdeka dan rakyatnya memerintah serta menguruskan negara sendiri sebagai sebuah negara yang berdaulat,” kata individu yang mengalunkan laungan azan pada hari pengisytiharan kemerdekaan, Tan Sri Hasan Azhari.“Bayangkan betapa gementarnya pada saat itu dan saya pada malam berkenaan “berlatih” dengan pelbagai taranum bagi memastikan kelancaran pada hari bersejarah itu, pada awal pagi lagi, saya telah dibawa ke Stadium Merdeka dan melihat orang ramai telah membanjiri Stadium berkenaan.
“Dan setelah menerima isyarat sejurus laungan merdeka dan lagu Negaraku, saya terus melaungkan azan dan pada waktu air mata mengalir membasahi pipi dan bersyukur kepada Allah,” katanya yang kini menjangkau umur 83 tahun.
Beliau yang kini masih lagi aktif dalam mengajar ilmu Al-Quran adalah antara hakim paling veteran di Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-54 seterusnya menambah laungan azan dan diiringi bacaan doa oleh Mufti Negeri Sembilan pada hari pengisytiharan kemerdekaan negara menunjukkan ianya tidak lari daripada Islam.
Malah tegas beliau ianya memperlihatkan bagaimana sejarah kemerdekaan negara turut diiringi dengan asas Islam dan ianya masih berterusan hingga ke hari ini.
“Bukankah kita dapat lihat yang mana sebelum acara rasmi baik di dalam kerajaan atau pun mana-mana tempat, sebelum apa jua acara majlis dimulakan, ianya didahului dengan bacaan doa. Ianya adalah untuk memohon kesejahteraan daripada Allah.
“Jadi apa yang saya nak kongsi di sini, Islam sudah diketengahkan pada hari bersejarah dan saya sendiri antara yang terlibat apabila melaungkan azan,” katanya.
Beliau seterusnya berkata kemerdekaan negara perlu dipertahankan walau dengan apa cara sekalipun kerana ianya telah menjadikan Malaysia hari sebagai sebuah negara yang berdaulat dan makmur.
“Tiap kali berlalunya 31 Ogos, saya masih terkenangkan peristiwa lalu dan saat bersejarah itu. Kepada rakyat Malaysia pertahankan kemerdekaan negara dan jangan sesekali meruntuhkannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment