Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya bersedia bermuzakarah dengan Pas berhubung isu kepentingan Islam dan Melayu.

Bagaimanapun, beliau meletakkan garis panduan supaya sesi muzakarah itu mencapai objektif dalam usaha menegakkan syiar Islam.

“Topik yang hendak dibincangkan perlu jelas dan ada hala tuju, moderator kena adil dan tidak ada kecenderungan untuk dipengaruhi mana-mana pihak, tempat untuk muzakarah yang dipilih hendaklah dipersetujui bersama serta mesti menjaga adab dan etika,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau menegaskan perbincangan mesti dilaksanakan dengan ilmiah, bukan secara emosi dan sanggup menerima kebenaran yang berasaskan kepada al-Quran dan Sunnah, selari dengan petunjuk Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda.

“Perbincangan dilakukan adalah untuk menegakkan Islam, bukan untuk agenda parti atau tokoh tertentu dan kita tidak mahu perbincangan itu tidak memberi manfaat,” katanya.